Pages

Subscribe:

Rabu, 12 Juni 2013

MASAM MANIS 20 TAHUN YANG LALU

20 tahun lalu pertama kali dahimu kukucup setelah ijab mengangkat tabir malumu sungai madu pun mengalir perlahan, dan alam pun menghantar resah ke kamar malam membentang teka teki pada silang rasa seperti anak-anak di bangku sekolah sukar sekali menulis rasa di alis mata sukar benar melukis bahagia dengan bicara dua tapak tangan kubuka meraut kasihmu yang tumpah dari hati ke ujung kaki. Tanggal 9.11.1993 saat getir kau melahirkan anak pertama kesakitan yang manis dan manis yang indah mengiring kehadiran Abdul Muiz masuk ke dalam hidup kita menjadi menteri, bintang dan bulan menjadi mata air dan salju menghias sepi dalam ruang hidup menambahkan bingit keriangan. Rezeki Tuhan datang mencurah hijrah kita dari tanah kenyalang ke bumi Mat Kilau, Dato Bahaman tersenyum menyambut kelahiran Khairunnisa’, di hospital Mentakab Abdul Mujib dan Khairunnajihah di klinik Keluarga bebanmu kian bertambah. Dalam waktu menjadi ibu dan kekasih kau selesa pula menabur bakti di sekolah menjadi pengajar dan pendidik anak felda yang berkerut dengan cita di dahi hati duniamu semakin luas mengajar dan membasuh kepandaian dengan akal dan tekun sabar. Hidup selesa dalam sederhana dikepung ladang sawit dan rumah peneroka anak-anak kian membesar dalam asuh kasih kita tak sempat berfikir tentang masa depan berpindah pula ke tanah Ulu Yam sekolah Sains menyambut dingin udara banjaran Titiwangsa dan suara burung di tepi air terjun Sungai tua menyejukkan resah di jiwa. Aku berulang-alik ke bumi cendekiawan bertolak pagi dan pulang hampir malam anak-anak bersekolah pagi dan petang dalam diam-diam tanpa banyak merancang lahir pula Abdul Munir yang comel tetapi Tuhan telah menentukan. Tiga tahun mengirup udara Ulu Yam namun wangian ilmuwan Tanjong Malim lebih kuat menusuk di jantung kita berpindah dengan upaya sederhana membina hidup di rumah sendiri setelah sepuluh tahun ke sana sini menumpang teduh di rumah yang diberi. Hari ini 8 November 2012 genap 20 tahun kita hidup bersama merasai masam manis pengalaman apa yang kurang dariku atas segala salah silapku keterlanjuran dan sikap burukku engkau maafkanlah kerana maafmu adalah dingin salju yang menyejuk hatiku maafmu adalah tanda undang terpampan di pintu Syurga. Engkau padaku tetap seperti yang kukenali dulu wajahmu tetaplah tawanan padanganku buruk baik sikapmu adalah asam garam yang memaniskan hidupku tiada yang kusimpan untuk disakiti tiada yang kubuang tanda benci apa yang diberikan Tuhan darimu buatku adalah rezeki yang sentiasa kusyukuri. hari ini kita melangkah lagi jangan ada di antara kita sakit menyakiti menyimpan dendam dan sakit hati maafilah daku sebagaimana engkau yang sentiasa kumaafi. Syukuri dengan pemberian Ilahi anak-anak, harta benda dan kelapangan hidup sebenarnya telah banyak menyedarkanku ia bukan sekadar rezeki tetapi imanku yang ingin diuji kuakui kelemahan tatkala tewas dan menyerah diri pada kehendak rasa dan hati tetapi Tini, kau jauh lebih memahami terima kasih kerana apa yang terlebih kau sedia menyimpannya di dalam hati. Aku berasa gembira dengan kehadiran Muhaimin biarpun kau terpaksa bersusah payah menahan derita rasa kerana ditinggalkan menahan derita sakit melahirkan susah payahmu sebenarnya kuhimpun dalam doa suci di setiap penjuru Mekah kugenapkan syukurku di Arafah tatakala Muhaimin selamat dilahirkan. Tini sayangku, andainya esok tatkala kau bangun dan aku tiada lagi di sisimu jangan terlalu menangisi daku yang pergi pesani anak-anak agar krimkan buatku doa dan bacaan Ayat-ayat suci moga Tuhan merahmatiku di alam sana. Tini yang kukasihi 20 puluh tahun berlalu pahit manis berkongsi hidup denganmu kekal utuh di pangkal hatiku dan esok kita tetap menadah tangan terbuka pada setiap waktu Dhuha menghantar doa kasturi ke langit moga hidupmu dan hidupku direzekikan bersisa dalam Barakah dan Rahmat Ilahi.

Doa Buat Ibu

(Redakanlah untuknya Syurga-Mu) Tuhanku atas diksi ulik dodoi kasih yang melenakan tidurku di buaian kumohon jadikan ia zikir kasturi yang mendinding ibuku dari azab kubur. Tuhanku atas setiap titis yang tumpah dari keringat ibu kumohon jadilah ia penolong ibuku tak kala manusia lemas dalam lautan peluh menuju al-Mizan.. Tuhanku atas setiap detik ibu meneduhiku dari panas dan kehausan kupinta jadikan ia penolong ibuku pada saat kepala manusia sejengkal dari menteri dan kehausan amat di Padang Mahsyar. Tuhanku atas setiap langkah ibu di bumi-Mu susah payah mencari rezeki untukku kupinta permudahkan langkah ibu meniti titian Siratol Mustaqim takala manusia nanar gemuruh gementar meniti di situ. Tuhanku sebagaimana Engkau telah sediakan tempat untuk wanita-wanita solehah Mashitah, Aisyah isteri Firaun yang beriman di dalam syurga-Mu kumohon pada Ya Allah sediakan juga untuk ibuku tempat bermukim di dalam mana-mana Syurga milik-Mu redakanlah untuknya Syurga-Mu dan kumohon dialah yang kelak setia menunggu kiranya Engkau rezeki untukku sampai ke situ. Ibu aku tidak upaya membalas setiapjasa baktimu biarpun segala isi dunia kuberikan padamu melainkan doa ini yang aku yakin Tuhan pasti merahmatimu dengan ampunan-Nya. Tanjong Malim,

SAJAK: KEMBALI KE AKAR LELUHUR

Ya! kita masih tidak lupa Hang Tuah
Setia pada raja tidak terkira
Sanggup berbuat apa sahaja
Melawan musuh di pelusuk nusantara
bersedia membunuh walau teman setia
demi raja
Sanggup melarikan anak dara
Bendahara indrapura
setia Hang Tuah tak bermata.

Ya! masih segar dalam ingatan kita
Hang Jebat yang dikatakan hebat
sanggup menentang raja
demi keadilan untuk teman setia
habis gundik raja dikerjakan
berapa banyak orang tak berdosa dikeriskan
berani Hang Jebat tak bermata
Aakhirnya mati di tangan orang yang dibela.

Datuk Bendahara, ah! Ramai yang lupa
dia orang kepercayaan baginda
dalam lembut diplomasi menipu raja
Hang Tuah tidak dibunuh 
pada hal dia dititah membunuh
derhaka dia, tetapi diampun raja!

Jauh daripada mereka bertiga
ialah Pak Kaduk yang dituduh bodoh
menukar ayam pada raja
ayamnya menang tetapi kampung tergadai
Setia Pak Kaduk dan Han Tuah pada raja
serupa sahaja
masing-masing patuh buta
Lebih pak Kaduk tidak membunuh teman setia
tidak pula menentang raja
apalah ruginya hanya dengar seekor ayam
yang diberikan pada baginda
berbanding darah yang ditumpahkan Tuah
tercela dan berdosa
Pak Kaduk tidak berbuat dosa
Tidak pula mengerjakan gundik raja.

Lebai Malang juga dibuat cerita
kononnya rugi di hulu rugi di hilir
dapat sisa tulang pun dianggap malang
tapi lebai berasa bahagia kerana
dia tak pernah makan rasuah 
atau curi wang rakyat berjuta
atau menaiki jet mewah
dan kereta lamborgini untuk pergi kenduri
sekadar kayuh perahu dengan kudrat sendiri
dia tetap penuhi undangan kendiri
di hulu dan di hilir rezeki bukan ditentukan
subsidi.

Lalu,kembali ke akar leluhur
bukan bermakna menilik watak Hang Tuah
untuk dipuja 
bukan juga mengambil keberanian Hang Jebat 
untuk dibuat dipuji
tidak juga Pak Kaduk, tidak juga Lebai malang
Datuk Bendarhara jauh sekali.


Kembali ke akar leluhur
bererti berhijrah daripada kesetiaan buta
kepada benar yang nyata

Kembali ke akar leluhur
bermakna beralih dari keberanian di mata
kepada pertimbangan di jiwa.

Akar leluhur itu sumur tempat ditimba
kebenaran dan kebijaksanaan, 
tanah subur tempat tumbuh pohon diri
ranting-ranting berbunga pekerti
dahan sasa meneguh perdu bangsa.

SIMPANLAH DI INGATANMU

Kenalkah kau 
suara air menitis pada keras batu
mengukir wajah tekun 
pada alur dan kerikil tajam
sepi di gua menafsir lembut zikir syahdunya
melarik runcing tanah dan batu 
melentur silau panas mentari 
gua hidup menghampar dalam gelapmu
ketabahan dan ketekunan jitu
manusia bergelar guru.


Masih ingatkan kau pada gelita malam
tatkala manusia nanar dalam pencarian
mencari jejak yang retak
meneka takdir mimpi
dengan lembut dia berdiri menabur bakti
memberimu cahaya dari sinar tuhannya
biarpun sedikit demi sedikit
titis demi titis luruh 
terbakar dan kehilangan diri,
kehilangannya tak pernah berganti.


Lupakah kau pada pengukir itu
tekun berdiri mengukir mimpi
melarik cinta hari dewasa
berapa banyak debu pahit
berjelaga di dalam hati
berkumpul di pangkal jantung, sekalipun
arca hidupnya retak seribu
mimpimu juga ditenung diukir
menjadi gambar abadi.


Dialah 
lembut suara air di tengah gua batu
guru yang faham erti kepayahan
menyulam perkerti dalam manis budi.


Dialah 
dian kerdil memberi suluh pencarian
pendidik yang menerima kepayahan
demi kesenangan anak didik di hari muka.


Dialah
penekun tabah mengukir waktu
pengajar bermandi keringat
dalam debu dan batu-batu.


Dialah 
Manusia kecil yang sering memberi
apa yang kita tidak tahu
menafsir rahsia ilmu
yang tertulis dengan bahasa kalbu.


Simpanlah di ingatanmu
diksi kata pujangga;
Guru laksana ombak
tak jemu-jemu mendambai pantai


Guru seumpama dian
membakar diri menerangi cahaya


Guru ibarat pengukir
menitip jejak perjalanan hari muka


Guru bagaikan suara air di gua 
tekun titis lembut membelah batu.

HANYA ENGKAU

jerit lindap dari kedalaman jiwa yang kosong menyeru meminta jawab rahasia nyeri di mana akhir di mana ujung derita tak bertepi tak tergapai daratan pantai di mana engkau menanti dengan senyum dengan peluk cium o dekaplah aku ayun ambinglah dalam perahu cintamu biar kukayuh biar simbah segala napsu biar punah segala syahwat lebur dalam cahaya cintamu yang gelombang arusnya menenggelamkan ke dalam hakikat kesejatian lumatlah lumatlah dengan sepenuhnya hingga habis diri tumpas diri yang ada hanya adamu semata engkau semata

CITRA PELANGI 1 MALAYSIA

Kita berfikir tentang sejuta mimpi
yang tumbuh rendang
dari lena dari tidur dari sepi malam
mari kita himpunkan angannya
menjadi mentari pagi.

Kita menyulam sejuta jiwa
yang bergetar dalam riak rasa berbeza
menjadi sebuah lagu cinta
lirik perpaduan seni senegara
rentak fikir bersama berpadu
inilah muzik satu hati sejiwa
rumpun pelbagai bangsa satu bahasa
berlagu senada menari langkah sekata.

Kita menghulur jemari hati
menghantar pesan seloka
mengirim diksi dari langit
mentera dari rumpun Melayu
air mawar dari sumur nusantara
satukan menjadi jamu cinta 
kita santap dalam pentas terbuka
di anjung pelbagai sejuta budaya
duduk-duduk berlamalah di sini
sambil mengayam citra pelangi
di wajah 1 Malaysia,
kelak kita menjadi lebih faham
perlunya berfikir dan bertindak
dalam bersatu, 
berbeza dan berselisih itu boleh
tetapi kemudian bersatu
tanah air kita tiada dua
hanya satu.

Realita Hidup

Realita itu memang pahit
Dimanakah aku harus melangkah lagi
Kegelapan adalah kekosongan
Kemiskinan yang mengendap dibumi 
Disanalah tempatku berlabuh
Berkumpul dipadang maqshar 
Sebuah tempat reuni 
Dan kita bertemu kelak,
Janganlah hukum dipermainkan dibumi ini
Adalah cermin...
itu tipu daya...