Pages

Subscribe:

Rabu, 12 Juni 2013

MASAM MANIS 20 TAHUN YANG LALU

20 tahun lalu pertama kali dahimu kukucup setelah ijab mengangkat tabir malumu sungai madu pun mengalir perlahan, dan alam pun menghantar resah ke kamar malam membentang teka teki pada silang rasa seperti anak-anak di bangku sekolah sukar sekali menulis rasa di alis mata sukar benar melukis bahagia dengan bicara dua tapak tangan kubuka meraut kasihmu yang tumpah dari hati ke ujung kaki. Tanggal 9.11.1993 saat getir kau melahirkan anak pertama kesakitan yang manis dan manis yang indah mengiring kehadiran Abdul Muiz masuk ke dalam hidup kita menjadi menteri, bintang dan bulan menjadi mata air dan salju menghias sepi dalam ruang hidup menambahkan bingit keriangan. Rezeki Tuhan datang mencurah hijrah kita dari tanah kenyalang ke bumi Mat Kilau, Dato Bahaman tersenyum menyambut kelahiran Khairunnisa’, di hospital Mentakab Abdul Mujib dan Khairunnajihah di klinik Keluarga bebanmu kian bertambah. Dalam waktu menjadi ibu dan kekasih kau selesa pula menabur bakti di sekolah menjadi pengajar dan pendidik anak felda yang berkerut dengan cita di dahi hati duniamu semakin luas mengajar dan membasuh kepandaian dengan akal dan tekun sabar. Hidup selesa dalam sederhana dikepung ladang sawit dan rumah peneroka anak-anak kian membesar dalam asuh kasih kita tak sempat berfikir tentang masa depan berpindah pula ke tanah Ulu Yam sekolah Sains menyambut dingin udara banjaran Titiwangsa dan suara burung di tepi air terjun Sungai tua menyejukkan resah di jiwa. Aku berulang-alik ke bumi cendekiawan bertolak pagi dan pulang hampir malam anak-anak bersekolah pagi dan petang dalam diam-diam tanpa banyak merancang lahir pula Abdul Munir yang comel tetapi Tuhan telah menentukan. Tiga tahun mengirup udara Ulu Yam namun wangian ilmuwan Tanjong Malim lebih kuat menusuk di jantung kita berpindah dengan upaya sederhana membina hidup di rumah sendiri setelah sepuluh tahun ke sana sini menumpang teduh di rumah yang diberi. Hari ini 8 November 2012 genap 20 tahun kita hidup bersama merasai masam manis pengalaman apa yang kurang dariku atas segala salah silapku keterlanjuran dan sikap burukku engkau maafkanlah kerana maafmu adalah dingin salju yang menyejuk hatiku maafmu adalah tanda undang terpampan di pintu Syurga. Engkau padaku tetap seperti yang kukenali dulu wajahmu tetaplah tawanan padanganku buruk baik sikapmu adalah asam garam yang memaniskan hidupku tiada yang kusimpan untuk disakiti tiada yang kubuang tanda benci apa yang diberikan Tuhan darimu buatku adalah rezeki yang sentiasa kusyukuri. hari ini kita melangkah lagi jangan ada di antara kita sakit menyakiti menyimpan dendam dan sakit hati maafilah daku sebagaimana engkau yang sentiasa kumaafi. Syukuri dengan pemberian Ilahi anak-anak, harta benda dan kelapangan hidup sebenarnya telah banyak menyedarkanku ia bukan sekadar rezeki tetapi imanku yang ingin diuji kuakui kelemahan tatkala tewas dan menyerah diri pada kehendak rasa dan hati tetapi Tini, kau jauh lebih memahami terima kasih kerana apa yang terlebih kau sedia menyimpannya di dalam hati. Aku berasa gembira dengan kehadiran Muhaimin biarpun kau terpaksa bersusah payah menahan derita rasa kerana ditinggalkan menahan derita sakit melahirkan susah payahmu sebenarnya kuhimpun dalam doa suci di setiap penjuru Mekah kugenapkan syukurku di Arafah tatakala Muhaimin selamat dilahirkan. Tini sayangku, andainya esok tatkala kau bangun dan aku tiada lagi di sisimu jangan terlalu menangisi daku yang pergi pesani anak-anak agar krimkan buatku doa dan bacaan Ayat-ayat suci moga Tuhan merahmatiku di alam sana. Tini yang kukasihi 20 puluh tahun berlalu pahit manis berkongsi hidup denganmu kekal utuh di pangkal hatiku dan esok kita tetap menadah tangan terbuka pada setiap waktu Dhuha menghantar doa kasturi ke langit moga hidupmu dan hidupku direzekikan bersisa dalam Barakah dan Rahmat Ilahi.

0 komentar:

Posting Komentar